Demografi Puchong Puchong,_Selangor

Kawasan Puchong mempunyai penduduk dianggarkan menghampiri 380,000 orang. Namun jumlah ini adalah jumlah yang telah dimasukkan sebahagian kawasan Sepang yang mempunyai poskod yang sama iaitu dari 47100 sehingga 47190 di bawah nama Puchong dan ianya ditadbir oleh Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Subang Jaya. Demografi Puchong terbahagi kepada dua iaitu:-

Kawasan Daerah Petaling

Jumlah penduduk Puchong di kawasan Daerah Petaling adalah dianggarkan seramai 295,000 orang. Dari segi komposisi kaum, kaum Melayu menguasai 45% peratus dari jumlah penduduk diikuti oleh kaum Cina 40%, India 14% dan kaum-kaum lain mewakili 1 peratus dari keseluruhan penduduk. Kebanyakkan kaum Melayu mendiami kawasan kampung-kampung di sepanjang Sungai Kelang dan taman-taman perumahan seperti di Puchong Permai, Puchong Perdana, Saujana Puchong, Puchong Prima, Puchong Indah, Puchong Utama, Bukit Puchong 1 dan Puchong Intan. Manakala kaum Cina banyak tertumpu kepada kawasan-kawasan perumahan yang besar seperti Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Bandar Puteri, Bandar Kinrara, sekitar Puchong Batu 8, Taman Kinrara, Kampung Baru Cina di Batu 14 dan Mutiara Puchong. Bagi kaum India pula penempatan mereka tertumpu kepada Kampung Bunga Melur di Batu 14, sekitar Sri Puchong dan Kampung Tun Razak. Terdapat juga penempatan kaum asli di Puchong iaitu di Puchong Batu 14 dikenali sebagai Kampung Sungai Rasau.

Kawasan daerah Sepang

Bagi jumlah penduduk Puchong di kawasan Daerah Sepang pula, jumlah penduduknya adalah dianggarkan seramai 85,000 orang. Dari segi komposisi kaum, kaum Melayu adalah kaum majoriti iaitu dianggarkan sebanyak 77%, diikuti kaum Cina 10% dan kaum India 13%.